Tuesday, 24 January 2012
" Kebangkitan Pemuda ISLAM "
Pemuda digambarkan sebagai seseorang yang sedang melalui satu peringkat tumbesaran di mana kekuatan fizikal, mental dan spiritual berada pada tahap yang paling optimum. Zaman ini merupakan satu peringkat seseorang manusia mampu mencari resolusi terbaik buat menangani masalah yang didepani.
Pemuda digambarkan sebagai unsur kekuatan dan menjadi tiang seri kepada pembangunan umat. Pemuda Islam bukan setakat mampu menghadapi gelodak cabaran namun terpikul dipundaknya risalah Islam yang merupakan risalah Nabi Muhammad S.A.W dan risalah Al-Quran .
Firman Allah :
Kami ceritakan kisah mereka kepadamu ( Muhammad ) dengan sebenarnya, maka sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk. ( al- Kahfi : 13 )
SIAPAKAH PEMUDA ISLAM ?
Pemuda Mithali Sepanjang Zaman
Nabi Ismail a.s
Al-Quran jelas menceritakan kisah pengorbanan pemuda mulia ini yang sanggup menuruti perintah Allah seperti yang diimpikan oleh bapanya. Hatinya tidak terdetik untuk membantah perintah Allah. Ketaatan kepada agama anutannya adalah mutlak.
Hai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu. Hai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. ( as Saffat : 102 )
Nabi Yusuf a.s
Walaupun ditawarkan dengan keghairahan oleh wanita bangsawan yang jelita namun Nabi Yusuf tetap tidak terpedaya dengan tipu daya syaitan.
Baginda lebih rela disumbat ke penjara dengan penuh kehinaan walaupun peluangnya untuk melepaskan diri terbuka luas jika baginda menuruti kehendak wanita tersebut. Antara dua ujian – ujian dunia ( dipenjara) atau ujian agama (zina),baginda memilih untuk menghadapi ujian dunia.
Aku mohon berlindung kepada Allah,sesungguhnya tuanku telah memperlakukan aku dengan baik,sesungguhnya tidak akan beruntung orang-orang zalim. (Yusuf: 23)
Ini merupakan dua contoh daripada ramai pemuda-pemuda Islam mithali yang seharusnya menjadi idola kepada pemuda Islam keseluruhannya.
Pertama : Tanggungjawab Memahami Islam
Tanggungjawab ini telah digariskan oleh agama. Pemuda-pemuda perlu mempelajari ilmu agama namun diwaktu yang sama tidak meninggalkan bidang pengkhususan masing-masing.
Pemahaman yang tepat terhadap Islam akan mengelakkan mereka daripada menambah perkara-perkara yang tidak bersangkutan dengan agama dan dinamakan dengan Bid’ah Hasanah. Pemahaman yang tepat juga mengelakkan pemuda-pemuda daripada mengurangkan dan mengubahsuaikan agama supaya menepati selera mereka.
Sabda Nabi S.A.W :
Barangsiapa yang melakukan sesuatu perkara baru dalam urusan kami ini, perkara yang tidak bersangkutan dengannya, maka ia tertolak.
Pemuda-pemuda harus membezakan antara perkara tunjang dengan cabang. Mereka juga sepatutnya mendahulukan perkara yang lebih utama berbanding perkara yang remeh temeh. Keupayaan membezakan antara halal dan haram, fardhu dan sunat, makruh dan harus sepatutnya menjadi pertimbangan pemuda-pemuda Islam.
Pemahaman ini tidaka akan diperolehi dengan tepat melainkan jika sumber yang digunakan adalah Al-Quran dan Sunnah, bukannya cerita-cerita Israiliyat, riwayat-riwayat dhaif, hadis-hadis ciptaan ataupun ilham peribadi.
Lantaran itu, belajar adalah satu perkara yang wajib dan menjadi wasilah untuk mendapat kefahaman yang jelas terhadap agama dan pengetahuan yang lain. Sebagai contohnya, pemuda-pemuda tidak lari daripada mempelajari hokum-hukum bersuci, sembahyang dan puasa.
Mereka juga tidak boleh lari daripada mempelajari hukum-hukum haji. Seandainya pemuda-pemuda ini seorang yang berharta maka wajar bagiya untuk mempelajari hokum zakat dan jika pemuda tersebut seorang usahawan maka wajib baginya mempelajari hokum-hukum yang berkaitan dengan keusahawanan.
Pemuda-pemuda juga harus belajar daripada pengalaman-pengalaman orang-orang terdahulu dan mengambil seerah Rasulullah sebagai panduan di dalam urusan hidupnya. Namun akibat kecuaian umat Islam suatu ketika dahulu, pemuda-pemuda lebih mengetahui sejarah barat. Malah memalukan kerana mereka engenali Napoleon lebih baik berbanding Nabi Muhammad S.A.W. Mereka tidak mengetahui melainkan kekejaman Islam dan terpesona dengan peradaban Barat.
Dari sinilah bertolaknya kewajipan pemuda-pemuda Islam untuk memahami Islam diajar secara berperingkat-peringkat. Begitulah juga dengan amalan untuk melaksanakan ajaran Islam. Pemuda-pemuda Islam bolehlah berpada dengan amalan fardhu, kemudian melakukan amalan sunat dan nawafil. Selepas itu mereka cuba untuk melengkapkannya dengan bangun malam dan melipatgandakan amalan-amalan sunat.
Demikian jugalah dari segi meninggalkan tegahan Allah. Pemuda-pemuda Islam memulakannya dengan meninggalkan perkara-perkara yang jelas haram dan diikuti dengan perkara-perkara syubhat dan makruh dan akhir sekali meninggalkan kebiasaan perkara-perkara sia-sia yang mungkin pada pandangan umum merupakan kebiasaan yang tiada salahnya.
Dia patut memahami Islam sehingga dia mampu menolak sebarang bentuk keraguan dan salah faham terhadap agama Islam. Selain daripada itu, dengan pemahaman yang jitu pemuda-pemuda akan mampu untuk memahamkan orang-orang lain dan menangkis tohmahan orang-orang sesat.
Kedua : Tanggungjawab Beramal Dengan Islam
Pohon yang rendang tidak bermanfaat seandainya tidak mengeluarkan buah. Begitulah perumpamaan seorang yang berilmu tetapi gagal beramal dengan ilmunya. Janganlah pemuda Islam menjadi bahan tempelakan Allah seperti Allah menempelak bangsa-bangsa terdahulu yang menerima kitab samawi dan mereka belajar tentangnya tetapi tidak dengan ajaran yang dipelajarinya.
Firman Allah :
Perumpamaan orang-orang yang dipikul ke atas mereka Kitab Taurat , kemudian mereka tidak memikulnya (tidak beramal dengan kandungannya) adalah seperti kaldai yang membawa kitab-kitab tebal. Amat buruklah perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu dan allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. ( al Jumu’ah : 5 )
Dakwah Islamiah lebih cepat tersebar melalui Qudwah yang baik yang terpancar melalui akhlak-akhlak dan perilaku umat muslimin. Seandainya pemuda Islam gagal untuk beramal dengan ajaran Islam yang telah dipelajari dan difahaminya, maka usaha penyebaran dakwah akan terbantut. Islam amat indah jika dibaca di dalam buku tetapi dek kerana kesilapan penganutnya yang enggan beramal dengan ajaran Islam secara total maka tampaklah keburukan umat Islam.
Amat menyedihkan umat islam kini tatkala mendengar kata-kata seorang Barat yang baru menganut agama Islam ; “ Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mengenalkan aku kepada Islam sebelum aku mengenali orang-orang Islam”.
Ketiga : Tanggungjawab Berdakwah Kepada Islam
Tidak cukup untuk seseorang pemuda memahami Islam dan berjaya membentuk dirinya menjadi seorang yang soleh tetapi dituntut daripada mereka untuk memikul beban dakwah Islam.
Firman Allah :
Hai anakku ! Dirikanlah sembahyang dan suruhlah manusia mengerjakan kebaikan dan cegahlah ( mereka ) daripada perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan oleh Allah. (Luqman : 17 )
Dewasa ini kejahilan yang melata di dunia menuntut pemuda Islam untuk menjadi seorang pekerja agama buat mengembalikan manusia kepada pengalaman Islam yang mutlak. Tugas ini bukanlah satu tanggungjawab yang ringan dek kerana halangan-halangan daripada manusia sendiri yang bebal untuk menerima Islam sebagai agama yang sempurna. Namun dalam melaksanakan tanggungjawab ini pemuda Islam harus sedar bahawa tiada satu dakwah pun yang tidak akan ditentang. Pemuda Islam harus sedar tiada tugas yang lebih besar yang menanti mereka daripada melaksanakan tanggungjawab berdakwah ini.
Firman Allah : Siapakah yang lebih baik perkataan daripada orang menyeru kepada Allah, mereka mengerjakan amal soleh dan berkata “ Sesungguhnya aku termasuk dalam golongan orang yang menyerah diri “. ( Fussilat : 33 )
Keempat : Tanggungjawab Bersatu Kerana Islam
Pemuda-pemuda Islam yang berkefahaman jitu dan sanggup bekerja untuk Islam seharusnya bertanggungjawab untuk saling Bantu membantu sesame pekerja Islam dan sama-sama berusaha untuk mengembalikan keagungan Islam. Tugas ini amatlah berat dan cita-cita ini tidak akan tercapai sekiranya pekerja-pekerja Islam bergerak secara bersendirian. Islam memerlukan pekerja yang bergerak secara berkumpulan dan jiwa pekerjanya diikat dengan tali kasih sayang dan ukhuwwah walaupun terdapat perbezaan corak kerja antara kelompok-kelompok Islam.
Sekiranya golongan kafir mampu untuk bersatu menentang Islam,kenapakah petugas-petugas Islam tidak mampu berganding bahu dan saling bantu membantu untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah ?
Firman Allah :
Dan orang-orang kafir sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Jika kamu ( orang-orang Islam ) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu,nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar. ( al-Anfal : 73 )
Akhir kata inilah empat tanggungjawab yang mesti dilangsaikan oleh pemuda Islam. Mereka sepatutnya memeriksa setiaptanggungjawab ini di dalam dirinya; adakah semua tuntutan ini sudah ditunaikan ataupun pernahkah dia melaksanakan tanggungjawab ini ?. Berbanggalah mereka tatkala hari kemenangan Islam tiba dan mereka merupakan penolong agama allah.
Dan di hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman dengan pertolongan Allah. Dia yang menolong sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Pengasih ( ar- Rum : 4-5 )
Semoga kita menjadi batu bata kepada binaan Islam..pewaris Generasi Solahuddin al-Ayyubi…
"Kemanisan IMAN "
Kelazatan iman (Halawatul Iman) tidak boleh dirasai jika kita tidak memulakan langkah untuk memahami hikmat di sebalik setiap apa yang kita lakukan, mengapa dan bagaimana kita lakukannya.
Kesedaran diri adalah kata awalan terhadap setiap amalan yang kita buat.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.” (Muttafaq alaih)
Anas berkata, “Aku melayani Rasulullah SAW selama sepuluh tahun, Baginda tidak pernah memukulku, tidak pernah mencelaku dan tidak pernah bermuka masam di hadapanku. Rasulullah SAW mendoakan Anas dikurnia harta dan anak yang ramai dan doa Baginda dikabulkan Allah.
Makna hadis ini, ada tiga sifat yang jika ada pada seseorang maka orang itu akan berasakan manisnya iman. Manisnya iman adalah rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah, ketenangan jiwa, kesenangan hati dan lapangnya dada.
Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata, “Syaikh Abu Muhammad bin Abu Hamzah berkata:
“Pengungkapan dengan lafaz ‘manis’ kerana Allah mengumpamakan iman seperti pohon,
seperti di dalam firman-Nya bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik.” (Surah Ibrahim, ayat 24)
Kalimat yang baik adalah kalimat ikhlas, kalimat tauhid, sedangkan pohon adalah pokok daripada keimanan,
cabangnya adalah menjalankan perintah dan menjauhi larangan,
daun-daunnya adalah segala amal kebaikan yang harus diperhatikan seorang mukmin,
dan buahnya adalah segala macam bentuk ketaatan.
Manisnya buah ketika buah sudah matang,
dan puncak daripada rasa manis itu adalah apabila buah telah benar-benar masak.
Maka ketika itulah akan terasa manisnya buah itu.
Mencintai Allah mestilah melebihi cintanya kepada orang lain seperti orang tua, anak, diri sendiri dan sesiapa saja yang dekat dengan kita. Beriman kepada Allah memiliki rasa manis yang tidak mungkin dinikmati, kecuali oleh orang yang beriman dengan sebenar-benar keimanan, penuh keikhlasan dan ilmu.
Oleh kerana itu, tidak semua orang yang mengatakan dirinya Muslim atau mukmin secara automatik dapat berasakan manisnya iman
Iman bukan cukup hanya dengan angan-angan,
tetapi wajib dimantapkan dalam hat
dikuatkan dengan perkataan dan perbuatan yang dijiwai sepenuh hati.
Kata kunci segala permasalahan ini adalah ikhlas.
Mengikut Imam Ibnul Qayyim, antara perbuatan untuk memperoleh kecintaan Allah dan kemanisan iman, selepas melakukan ibadat wajib:
l Membaca al-Quran dengan merenungkan dan memahami maknanya.
l Mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amalan sunat.
l Terus menerus berzikir kepada Allah dalam setiap tindak tanduk kehidupan dengan hati, lisan atau perbuatan.
l Mendahulukan apa yang dicintai Allah daripada apa yang dicintai diri sendiri.
l Berkawan dengan orang yang jujur mencintai Allah dan orang soleh
l Menjauhi segala perkara yang dapat menghalangi pautan hati dengan Allah.
Mencintai Rasulullah SAW yang menyusul selepas mencintai Allah adalah ciri terpenting yang harus dimiliki sesiapa saja yang ingin berasakan kelazatan iman. Cinta Allah dan Rasul-Nya adalah kayu ukur bagi kecintaan terhadap diri sendiri, orang tua, anak dan seluruh manusia.
Suatu ketika Saidina Umar berkata kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu apa pun, kecuali diriku.”
Maka Nabi SAW menjawab, “Bukan begitu, demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sehingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri.”
Maka Umar menjawab, “Demi Allah, sesungguhnya engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri.”
Maka Nabi SAW menjawab, “Sekarang Umar, (telah sempurna imanmu).”
Anas juga meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, beliau bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman salah seorang di antara kalian, sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya, anaknya dan seluruh manusia.”
Mencintai seseorang kerana Allah maksudnya menjaga hubungan kasih sayang antara seorang Muslim dengan saudaranya atas landasan iman kepada Allah SWT dan amal soleh. Kita mencintai saudara kita bukan kerana keuntungan kebendaan atau harta, kita membencinya atau menjauhinya bukan kerana kemiskinan atau tidak memperoleh manfaat dunia darinya. Ukuran cinta kita kepadanya adalah atas dasar iman dan amal
Saling mencintai kerana Allah mempunyai hak yang harus ditunaikan antaranya membantu memenuhi keperluan saudaranya dan menolong pada saat dia memerlukan bantuan, tidak membuka aib, tidak membenci, tidak iri dan dengki terhadap nikmat yang diberikan Allah kepada saudara kita.
Sentiasa mendoakan saudara kita tanpa pengetahuannya dan mengucapkan salam jika bertemu, bertanya khabar keadaannya, tidak sombong dan tinggi diri. Jalinan seorang Muslim dengan Muslim lain dibangun atas landasan cinta kepada Allah.
Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Baginda mengenai tujuh golongan yang akan dinaungi Allah antaranya: “Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya.”
Subscribe to:
Posts (Atom)